TAZKIRAH RABIULAWWAL - Anda ada kenangan manis dengan Rasulullah?

Adakah anda terkenangkan orang tersayang seperti ibu bapa atau datok yang telah meninggal dunia? Jawapannya - Ya. Mungkin kerana anda mempunyai sebuah kenangan indah malah mungkin juga kenangan pahit bersamanya sehingga memori itu menyebabkan anda sering teringatkan dia, biarpun dia telah meninggalkan dunia. Cerita berkenaan dengannya seringkali dikongsi dengan orang yang rapat dengan anda sebagai tanda ingatan terhadapnya. Mungkin jawapannya Tidak, kerana tiada sebarang kenangan manis atau pahit dengan mereka seperti ibu bapa anda meninggal dunia sewaktu anda masih kecil lagi. 



Bagaimana sikap kita terhadap Rasulullah? Adakah kita mempunyai suatu kenangan indah bersamanya sehingga kenangan sentiasa segar di dalam ingatan? Atau mungkin juga kita langsung tidak teringatkan baginda kerana tidak mempunyai sebarang kenangan bersama baginda yang boleh menyentuh hati dan perasaan kita. Bagaimana tidak, sedangkan tahi lalat pada pipi seorang artis lebih kita ingat berbanding dengan kecederaan yang ditimpa oleh Rasulullah ketika peperangan Uhud. Kalaulah begitu, apakah ertinya kita menyambut Maulidur Rasul pada setiap tahun?

Rasulullah merupakan sosok tubuh yang Allah utuskan kepada manusia sebagai model pelaksana Islam yang perlu dicontohi. al-Quran sahaja tidak memadai melainkan ada seorang model yang menunjukkan cara untuk melaksanakan Islam itu sendiri. Terdapat banyak rasul yang diutuskan dan yang perlu diketahui ialah seramai 25 orang. Di dalam menjayakan misi ini, semua para rasul telah menerima pelbagai cabaran dan tentangan bukanlah kerana mereka membawa perkara yang mungkar, tetapi membawa perkara baik dan mulia. 

Macam tak lojik sekiranya ada pihak yang menghalang usaha mengajak orang bercakap benar, beramanah, menyantuni orang tua, menunaikan solat, membayar zakat dan sebagainya. Namun, itulah yang baginda terima sepanjang usaha dakwahnya sehingga peringkat musuh ingin membunuhnya. Kalau baginda mengajak merogol, membunuh, mencuri dan merompak, ada juga lojiknya jika ada orang yang membenci. Tetapi semua perkara yang baginda ajak merupakan perkara baik. Kalau baginda dimusuhi, maknanya, perkara yang baik tidak semua orang suka. 

Sepanjang usaha dakwah baginda mengajak kepada kebaikan ini, pelbagai rintangan dan cabaran yang baginda telah terima. Sejarah riwayat hidup baginda Rasulullah  dipenuhi dengan kisah suka dan duka yang perlu menjadi pengajaran dan panduan kepada orang Islam. Semua memori itu akan terpahat kukuh dalam memori kita apabila kita juga menjalankan usaha dakwah yang merupakan tanggungjawab kita setelah kewafatannya. Di saat kita dimarahi, ditengking, dilambatkan naik pangkat, dibenci dan sebagainya, Rasulullah merupakan sosok tubuh yang kita jadikan idola. Baginda telah menerima cabaran dan tentangan yang jauh lebih hebat lagi daripada kita. Kisah-kisah baginda boleh mengubat keluhan dan keresahan hati kita. 

Intipati sambutan Maulidur Rasul yang disambut pada setiap tahun ialah untuk mengingati perjuangan baginda. Bukan sekadar untuk berselawat, tetapi untuk melihat Islam dilaksanakan di dalam masyarakat dari segenap sudutnya sebagai mana yang ditunjukkan oleh baginda.

Post a Comment

0 Comments