Wednesday, December 10, 2014

Manusia selalu keliru antara hak asasi dan keinginan hawa nafsu

Manusia seringkali keliru dan gagal membezakan antara hak asasi dan keinginan. Apa yang dianggap sebagai hak asasi, tetapi sebenarnya ia merupakan keinginan hawa nafsu sahaja yang sememangnya tidak terbatas. Kalau ingin diikutkan semua keinginan manusia, harta yang bernilai segunung emas pun tidak akan cukup untuk memenuhi semua keinginan manusia. Oleh sebab itu, untuk membezakan hak asasi dan keinginan manusia, panduan ketuhanan diperlukan kerana peraturan ketuhanan itu bersifat universal. 

Manusia menyangka bahawa 
- berjudi itu adalah hak asasi mereka untuk berhibur 
- minum arak itu adalah hak asasi mereka untuk ketenangan
- berzina itu adalah hak asasi mereka untuk kepuasan 
- menukar jantina itu adalah hak asasi mereka untuk rasa jati diri
- membuka aurat itu adalah hak asasi mereka untuk berhias 

Apakah benar semua itu hak asasi? atau itu hanyalah keinginan manusia?



Islam merupakan agama yang meletakkan peraturan dan panduan (baca: hukum hakam) yang bertujuan untuk mengatur kehidupan manusia. Semua peraturan itu secara tidak langsung telah menjaga agama, nyawa, akal, harta, keturunan dan maruah yang semua itu merupakan tujuan perundangan Islam (Maqasid Syariah). Islam telah menetapkan paraturan yang merupakan hak/tanggungjawab sebagai lelaki dan wanita, sebagai suami dan isteri, sebagai rakyat dan pemimpin, sebagai ibu bapa dan anak, dan lebih penting dari itu sebagai seorang hamba Allah. Oleh kerana semua perkara itu telah pun dijaga di dalam perundangan Islam maka tidak timbul lagi hak asasi di dalam Islam melainkan apabila melibatkan pengabaian hak dan tanggungjawab itu. Ketika itu, Islam menyediakan ruang pengaduan dan mahkamah untuk menyelesaikan masalah itu seperti wanita yang ditinggalkan oleh suaminya. 


Hakikatnya, Islam menyediakan suatu peraturan yang cukup baik kepada manusia untuk mereka mengenalpasti hak asasi yang sebenarnya kepada manusia dan memberikan kebebasan yang tidak mutlak kepada manusia untuk melempiaskan semua keinginan. Konsep yang bersifat TOP DOWN ini cukup baik lantaran kekeliruan manusia untuk membezakan antara hak asasi dan keinginan. Kalau diberikan sepenuhnya kepada manusia bagi menentukan semua itu, manusia akan terus berada di dalam kegelapan kerana manusia biasanya akan mementingkan dirinya sendiri berbanding dengan orang lain. 

Di barat pula, oleh kerana mereka tidak mempunyai sebarang panduan daripada wahyu, mereka memerlukan kepada akal dan rasional bagi menentukan hak asas itu. Mereka terpaksa memerah otak dan bertanya kepada semua golongan dan kelompok manusia tentang hak asasi yang mereka rasakan. Mereka terpaksa bertanya kepada golongan rakyat marhain dan sang penguasa, kumpulan pekerja dan pihak pemodal, suami dan isteri, lelaki dan perempuan tentang hak asasi mereka sendiri yang mereka fikirkan. Mereka terpaksa bertanya sedemikian dan terdapat pula pihak yang memperjuangkan hak asasi itu kerana tidak panduan wahyu daripada tuhan. Oleh kerana semua mereka adalah manusia dan tiada siapa di kalangan mereka yang mempunyai kelebihan untuk menyalahkan dan membenarkan orang lain. Semua pandangan mereka adalah sama. Untuk itu, mereka memerlukan kepada undian (baca: demokrasi) untuk menentukan mana satukah hak asasi yang diiktiraf. 

Perjalanan hak asasi barat terpaksa menerusi cara demokrasi kerana masing-masing manusia mempunyai suara yang sama. Maka pendekatan BOTTOM UP perlu dilakukan untuk memastikan semua suara itu dapat mencapai persetujuan dan akhirnya membentuk peraturan untuk manusia. Sekali lagi timbul persoalan, adakah manusia mengetahui dan dapat membezakan antara hak asasi dan keinginan manusia? Kita mendapati ada negara yang membenarkan lelaki berkahwin dengan lelaki atas alasan hak asasi. Apakah ia sebenarnya hak asasi? 

Kesimpulan

Hak asasi tidak menjadi isu besar di dalam Islam kerana semua perundangan Islam telah tersedia menjaga asas kehidupan manusia iaitu menjaga agama, nyawa, akal, harta, keturunan dan maruah manusia. Semua asas perundangan Islam itu bersifat TOP DOWN menerusi wahyu. Memang diakui memang ada kelemahan dalam pelaksanaan undang-undang Islam itu, yang perlu diperbaiki dari sama ke semasa. Namun ia tidak bermakna menafikan sifat wahyu yang menjaga maslahah manusia. Hak asasi menjadi isu besar di barat kerana mereka tidak mempunyai wahyu. Mereka terpaksa menggunakan pendekatan BOTTOM UP menerusi hak asasi dan demokrasi untuk memastikan kelansungan mereka.

No comments: