Hukum Melawat Rumah Ibadat Orang Kafir

Terdapat sesetengah tempat ibadah orang kafir di seluruh dunia telah dijadikan sebagai tempat tarikan pelancongan. Apakah hukum melawat tempat berkenaan

Ulama berselisih pandangan tentang hukum melawat tempat berkenaan kepada tiga pandangan. 
  1. Mazhab Maliki dan Mazhab Hambali - Harus (Jawahir al-Iklil,1/383; Kasyf al-Qanna’, 1/293). 
  2. Mazhab Syafie - Harus dengan keizinan mereka. Kalau ada patung, tidak boleh melawat. (Mughni al-Muhtaj, 6/78)
  3. Mazhab Hanbali - Makruh tahrim kerana ia adalah tempat syaitan berkumpul (Radd al-Mukhtar, 1/380).
Dalil yang mengharuskan masuk rumah ibadat bukan Islam 
Terdapat riwayat Para Sahabat telah masuk rumah ibadat dan bersembahyang di dalamnya. Sebagai contoh Abu Musa al-Ashaari telah masuk gereja di Dimasyq yang namanya “Nihya”. (Ibnu Abi Shaibah [4871]).

Perjanjian yang dilakukan oleh Saidina Umar dengan orang-orang Nasrani yang dikenali dengan “al-Syurut al-Umariyyah”. Antara kandungan perjanjian itu ialah:-
“kami tidak boleh menghalang mana-mana orang Islam dari memasuki gereja kami sama ada siang atau malam, dan kami akan meluaskan gereja untuk orang yang lalu lalang dan orang musafir. Kami menjadi tuan rumah kepada orang yang singgah di kalangan orang Islam selama 3 hari dan memberikan makanan kepada mereka” (al-Bayhaqi, 18717). Ibn al-Qayyim berkata: Syarat ini cukup masyhur dan tidak memerlukan lagi kepada sanad (Ahkam Ahl al-Zimmah, 3/164) 

Beberapa orang isteri Rasulullah telah masuk gereja di Habsyah tanpa ditegah oleh Rasulullah. Ummu Salamah dan Ummu Habibah telah pergi ke bumi Habsyah dan mereka menceritakan kecantikan gereja dan patung-patung di sana. Kemudian Nabi saw mengangkat kepala dan berkata “Mereka itu apabila lelaki soleh di kalangan mereka mati, mereka membina masjid di atas kuburnya kemudian mereka membina patung lelaki soleh tadi. Mereka adalah seburuk-buruk manusia di sisi Allah” 



——————————
Walau bagaimanapun, terdapat athar bahawa Saidina Umar enggan masuk gereja di Syam apabila seorang lelaki dari kalangan pembesar Nasrani menyediakan makanan dan memanggil Saidina Umar. Namun, Saidina Umar menjawab “Kami tidak masuk gereja yang ada patung.” Athar ini ditafsirkan bahawa Umar menolak atas kapasiti sebagai pemimpin dan beliau takut akan menimbulkan fitnah kepada masyarakat. Beliau khuatir masyarakat akan mentafsirkan perbuatan ini bahawa beliau memperakui kebenaran agama kristian. 

Tafsiran terhadap tindakan Saidina Umar ini dikuatkan dengan satu riwayat lain yang mana beliau telah mengarahkan Saidina Ali dan orang ramai ke sana dan menerima jemputan makan itu (al-Mughni, 8/113). 
—————————

Keadaan yang diharamkan pergi

1. Semasa mereka menyambut perayaan mereka kerana kehadiran mereka di sana itu meraikan sambutan perayaan orang kafir yang ditegah oleh Islam. Saidina Umar berkata: “Kamu jangan masuk gereja pada hari perayaan mereka kerana kemurkaan Allah tertimpa kepada mereka pada ketika itu” (Musannaf Abd al-Razzaq, 1609)

2. Apabila para pelawat dimestikan untuk terlibat sama melakukan syiar / ritual agama mereka seperti diminta untuk membuka tutup kepala, tunduk atau berdoa bagi membesarkan rumah ibadat mereka. 

3. Apabila dikhuatiri fitnah ke atas pelawat dengan mendatangkan keraguan di dalam hati mereka daripada apa yang mereka dengar dan lihat seperti yang mungkin berlaku kepada kanak-kanak lantaran mereka tidak mempunyai kefahaman yang jitu tentang Islam.

4. Apabila lawatan itu dilakukan tanpa keizinan dari mereka yang mungkin menimbulkan fitnah bahawa lawatan itu menghina syiar dan ibadat mereka. 

5. Apabila lawatan itu (khasnya pada pemimpin) akan menimbulkan fitnah terhadap masyarakat bahawa lawatan itu seperti memperakui kebenaran agama mereka seperti dalam kisah Saidina Umar. 


Post a Comment

0 Comments